MANILA: Pemimpin ASEAN bersetuju mengekalkan perwakilan Myanmar pada sidang kemuncak dan mesyuarat menteri-menteri luar blok itu pada peringkat bukan politik sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Dalam keputusan yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini hari ini, pemimpin blok itu berkata, penyertaan Myanmar dalam mesyuarat badan atau mekanisme kementerian sektoral ASEAN yang lain harus kekal tanpa sekatan di semua peringkat.
Pemimpin ASEAN bersetuju untuk mengadakan libat urus dengan Myanmar secara berperingkat, dengan mengambil kira perkembangan di lapangan dan kemajuan pelaksanaan 5PC.
"Tertakluk kepada kemajuan yang mampan dan konkrit dalam pelaksanaan 5PC oleh Myanmar, ASEAN boleh mempertimbangkan pengembalian semula perwakilan politik penuh Myanmar secara berperingkat," kata mereka.









