Jakarta: Indonesia akan menggesa ratifikasi perjanjian bagi membolehkan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACCTHPC) beroperasi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila.

Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN Kementerian Luar Indonesia Ina Krisnamurthi berkata pusat itu sudah mempunyai sekretariat di Jakarta, namun masih belum dapat memulakan operasi sementara menunggu ratifikasi perjanjian berkenaan oleh negara anggota ASEAN.

Beliau berkata sekurang-kurangnya enam negara anggota perlu meratifikasi perjanjian itu sebelum ia boleh berkuat kuasa, namun setakat ini hanya Vietnam telah menyelesaikan proses berkenaan.

"Pusat ini mesti mula beroperasi. Jika tidak, tiada gunanya menubuhkan sebuah pusat yang tidak dapat berfungsi. Kita mesti segera melaksanakan apa yang telah dirancang menerusi pusat ini," katanya pada Rabu, menurut agensi berita Antara.