Hannah Yeoh pada sidang media di Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan.KUALA LUMPUR: Pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada RM1,000 dibuat selepas status tanah institusi itu ditukar daripada komersial kepada kegunaan institusi, kata Hannah Yeoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, perubahan status itu menyebabkan tanah tersebut tidak lagi mempunyai nilai pembangunan komersial seperti sebelumnya.

Katanya, tanah itu tidak boleh dibangunkan untuk projek seperti kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya perlu dikekalkan bagi kegunaan institusi dan bangunan warisan.

“Bila mereka tukar status tanah mereka, tanah itu sudah tidak bernilai seperti tanah komersial. Ia tak boleh naik kondo, tak boleh jadi ‘shopping mall’. Ia hanya kekal sebagai sekarang, bangunan warisan institusi,” katanya.