KUALA LUMPUR: Sebanyak RM22.3 juta diperlukan bagi pembinaan stesen bomba mini dan penyediaan tangki air di Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, proses perolehan bagi kemudahan berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.

Katanya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut menyediakan kenderaan pemadam kebakaran khas jenis Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang direka untuk operasi di STOLport, dengan penghantaran pertama dijadual pada Mei tahun depan.

“MAHB sentiasa komited dan memandang serius dalam mengambil langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan keselamatan dan tindak balas kecemasan di semua STOLport,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.