Al Zulfadly Alias dan tunangnya didakwa atas 6 tuduhan penipuan di dua mahkamah berasingan di Kuala Lumpur.PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sebelum ini disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor dipenjara setahun dan dikenakan dua kali sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berkait dua tuduhan menipu dalam pembelian hartanah.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid memerintahkan tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, menjalani hukuman serentak bermula tarikh tangkap, iaitu 27 Okt, selepas dia mengaku bersalah.

Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas dua tuduhan dibacakan secara bersama, lapor Harian Metro.

Mengikut tuduhan, kedua-dua individu yang tidak bekerja itu didakwa secara bersama menipu dan memperdaya seorang selebriti lelaki berkaitan tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM30,000 melalui dua pindahan kredit ke dalam akaun bank milik Al Zulfadly di Wangsa Maju pada 10 dan 12 Mei 2024.