Memasuki alam universiti antara satu titik perubahan penting dalam kehidupan seorang pelajar. Universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, bahkan medan pembentukan pemikiran, keperibadian, kematangan dan jati diri. Bagi seorang Muslim, perjalanan ke universiti sewajarnya dilihat dalam kerangka yang lebih luas, iaitu sebahagian daripada perjalanan menuntut ilmu yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam.

Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW dimulakan dengan perintah membaca, sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah." (Surah al-Alaq ayat 1–3)

Perintah ini memberikan asas penting bahawa pembinaan tamadun Islam bermula dengan ilmu. Namun, ilmu tidak diperoleh dengan keinginan semata-mata. Ia memerlukan masa, kesungguhan, disiplin, kesabaran dan pengorbanan. Dalam konteks mahasiswa, tempoh tiga atau empat tahun di universiti bukanlah masa yang panjang jika dibandingkan dengan perjalanan para ulama terdahulu yang menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk mencari, mempelajari, mencatat dan menyebarkan ilmu.