PETALING JAYA: Barisan pemain Malaysia meneruskan rentak konsisten apabila mendominasi acara beregu wanita selepas menggondol pingat emas dan perak pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2026 di Doha, Qatar, kelmarin.
Gandingan Nur Syazwani Sahar dan Adelia Nur Irwan Syazalee yang mewakili pasukan Malaysia 2 beraksi cemerlang setelah menyempurnakan 2,753 jatuhan pin untuk memenangi pingat emas.
Satu lagi pasangan yang mewakili Malaysia 1, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nora Lyana Natasia Norkamal membawa pulang pingat perak selepas melakukan 2,732 jatuhan pin.
Satu lagi gandingan negara, Gillian Lim-Sin Li Jane yang diletakkan dalam pasukan Malaysia 3 kurang bernasib baik apabila dipintas Filipina, Grace Gella dan Krizziah Macatula yang merangkul gangsa dengan 2,717 jatuhan pin.









