Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyeru graduan Universiti Malaya supaya berani menolak arahan untuk meluluskan sesuatu yang meragukan atau melanggar undang-undang di tempat kerja. (Gambar UM)PETALING JAYA: Rakyat tidak seharusnya jemu mempertahankan perkara yang benar, manakala keputusan yang dilihat kecil untuk membetulkan kesalahan atau bersuara menentang salah laku tidak boleh dipandang remeh, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-66 hari ini, Sultan Nazrin bertitah bahawa keberanian dan integriti yang tinggi diperlukan untuk melakukan perkara yang benar, khususnya dalam situasi yang melibatkan kepentingan.
Titahnya, mereka mungkin diminta meluluskan sesuatu yang meragukan atau melanggar undang-undang di tempat kerja, sama ada dengan mengubah angka dalam laporan, menyembunyikan kelemahan sesuatu projek atau berdiam diri mengenai salah laku atau kecuaian bagi melindungi individu tertentu.








