PETALING JAYA: Penetapan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dibuat bagi membolehkan bangunan berusia 103 tahun itu terus dipelihara sebagai bangunan warisan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bangunan yang diwartakan sebagai warisan pada 2007 itu turut mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.
Katanya, keadaan itu disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.
“Pemimpin UMNO dan Pas serta segelintir penunggang agama kuat memainkan isu ini sejak semalam kerana Kerajaan Madani mengenakan premium tanah sebanyak RM1,000 sahaja kepada KLSCAH.








