PEMBANGUNAN negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan pencapaian pendidikan dan ekonomi generasi muda, sebaliknya perlu turut mengutamakan tahap kesihatan mereka. 

Hal ini penting bagi memastikan generasi pewaris bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan ekonomi, malah memiliki kesihatan yang baik demi menjamin keutuhan negara.

Pada masa ini, kita perlu mengubah pemikiran yang penjagaan kesihatan bukan sekadar berkaitan hospital, doktor dan rawatan tetapi turut melibatkan pendidikan yang membolehkan masyarakat mencegah penyakit sebelum berlaku. 

Setiap keluarga perlu mempunyai pengetahuan tentang nutrisi, tumbesaran kanak-kanak, pemilihan makanan, penjagaan kesihatan, perkembangan emosi dan mental serta tanda awal masalah perkembangan yang memerlukan intervensi. Hal ini semakin penting apabila masyarakat berhadapan dua cabaran pemakanan secara serentak, iaitu kekurangan zat dan peningkatan obesiti yang kritikal.