PETALING JAYA: Sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baharu disasarkan menerusi Bakat Madani pada 2027, termasuk melalui penyertaan syarikat swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bakat Madani diluncurkan hasil komitmen enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), PETRONAS dan rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan latihan serta peluang pekerjaan berkualiti kepada 25,000 anak muda.
“Bagi tahun 2027, sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu disediakan termasuk melalui penglibatan syarikat swasta,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta, beliau berkata, kerajaan turut memberikan potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program latihan Bakat Madani mulai 29 Jun lalu hingga 31 Disember 2030.









