PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan akan digubal bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun yang diamanahkan mengurus wang serta aset rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengekang kejadian seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Tabung Haji dan FELDA daripada berulang.

Menurut beliau, ia bagi memperkukuh tatakelola dan ketelusan pengurusan kewangan awam, semua kutipan bayaran balik pinjaman yang disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan hendaklah digunakan semula hanya bagi tujuan dan kumpulan sasaran yang diluluskan.