KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini setakat 31 Oktober lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN memaklumkan rekod penghantaran pulang itu adalah berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya merujuk secara khusus pada etnik Rohingya.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang pada 29 September lepas menerusi operasi penghantaran pulang secara berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah etnik Rohingya yang berada di Malaysia, bilangan yang dihantar pulang ke Myanmar pada tahun ini serta pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sekiranya kembali ke negara asal.