PADANG BESAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengesan dua kes berkaitan pemandu wanita menawarkan khidmat pengangkutan penumpang wanita tanpa lesen perkhidmatan sah yang dipromosikan menerusi platform media sosial seperti Telegram dan Threads.
Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd. Nawi berkata, perkhidmatan itu menawarkan perjalanan ke lokasi tertentu termasuk hospital, pusat beli-belah dan rumah saudara-mara dengan bayaran tertentu.
“Perkhidmatan pengangkutan penumpang tanpa lesen perkhidmatan sah bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan penumpang, khususnya aspek perlindungan insurans serta jaminan kebajikan,” katanya pada sidang akhbar di sini.









