Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan enam individu terbabit hadir di mahkamah kerana ia kes bersifat separa jenayah.SEREMBAN: Mahkamah Tinggi mengarahkan empat undang dipertikaikan serta dua pembesar hadir di mahkamah bagi menghadapi dua prosiding menghina mahkamah terhadap mereka berhubung kemelut diraja Negeri Sembilan.
Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memulakan satu lagi prosiding menghina mahkamah terhadap enam individu terbabit.
"Anak guam anda mesti hadir kerana ini merupakan kes bersifat separa jenayah," katanya sambil menetapkan 15 Dis sebagai tarikh pendengaran.
Enam individu itu ialah bekas undang Sungai Ujong Mubarak Dohak, bekas undang Jelebu Maarof Mat Rashad, bekas undang Rembau Abdul Rahim Yasin, Undang Johol Muhammed Abdullah, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan bekas shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid.







