Kuala Lumpur: Kejayaan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemampanan model pembiayaan, sebaliknya perlu turut mengambil kira kualiti rawatan diterima pesakit serta peningkatan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr L Sivanaesan, berkata cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional adalah langkah ke arah menangani cabaran peningkatan kos penjagaan kesihatan, beban penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat serta keperluan populasi yang semakin menua.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan dana berkenaan bergantung kepada kaedah penstrukturan dan pelaksanaannya.
"Keutamaan kami adalah memastikan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan diterjemahkan kepada penjagaan pesakit yang lebih baik. Ini bermakna akses tepat pada masanya kepada rawatan berkualiti, tempoh menunggu yang lebih singkat serta hasil kesihatan yang lebih baik.








