Kuala Lumpur: Permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia hingga tahun depan, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding momentum luar biasa yang direkodkan sebelum ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perkembangan itu disokong permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor serta komponen elektronik yang digunakan dalam infrastruktur AI dan pengkomputeran termaju.

Katanya, keyakinan itu turut disokong maklum balas pengeluar E&E yang menunjukkan tempahan kekal kukuh dengan keterlihatan pesanan antara 12 hingga 18 bulan.

"Tempahan mereka kekal kukuh antara 12 hingga 18 bulan dan ini menunjukkan permintaan yang kuat," katanya pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2026 di sini, hari ini.