KUALA LUMPUR: HLGY Energy Sdn Bhd (HLGY Energy) memperuntukkan pelaburan sehingga RM500 juta untuk membangunkan loji tenaga solar berkapasiti 119.7 megawatt (MW) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, Kedah, yang dijangka mula membekalkan tenaga elektrik menjelang Jun 2028.

Projek berskala besar pertama syarikat itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 240.72 megawatt jam (MWh), dengan keupayaan menjana kira-kira 224 gigawatt jam (GWh) tenaga elektrik setahun apabila beroperasi kelak.

Penasihat Kumpulan HLGY Energy, Levin Tan berkata, pembangunan itu menandakan langkah penting syarikat untuk mengembangkan operasi daripada pemasangan solar komersial dan perindustrian kepada pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).