PETALING JAYA: Pertumbuhan aktif komuniti sukan dan gaya hidup sihat di Malaysia Timur mendorong pengeluar kelengkapan sukan global, Asics Malaysia meluaskan rangkaian peruncitan fizikalnya ke Sabah menerusi pembukaan cawangan sulung di negeri itu.
Langkah strategik berkenaan mengatasi kekangan akses pengguna tempatan yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada saluran pembelian dalam talian atau peruncit pihak ketiga bagi mendapatkan kelengkapan sukan jenama berkenaan.
Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik berkata, kehadiran kedai fizikal di Imago Shopping Mall dilihat tepat pada masanya memandangkan minat tinggi masyarakat setempat terhadap aktiviti larian dan kecergasan.
Menurutnya, ruang runcit khusus itu memberi nilai tambah kepada pengguna untuk mencuba kesesuaian produk secara terus serta mendapatkan khidmat rundingan teknikal bagi mengelakkan risiko kecederaan akibat pemilihan kasut yang kurang tepat.









