KUALA LUMPUR: Kehidupan sebagai selebriti tidak semestinya menjamin kestabilan pendapatan dan masa depan, terutama apabila populariti serta tawaran kerja berubah mengikut keadaan industri hiburan.

Menyedari hakikat itu selepas lebih dua dekad bergelumang dalam industri seni, pengacara dan pelakon, Awal Ashaari, tidak menggalakkan kedua-dua anaknya, Lara Alana dan Lyla Amina, menjadikan bidang seni sebagai pilihan kerjaya apabila dewasa kelak.

Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 44, berkata, beliau turut berkongsi dengan anak-anak mengenai cabaran yang perlu dihadapi penggiat seni, khususnya dari segi kestabilan pendapatan dan perancangan kewangan untuk masa depan.

Katanya, pendedahan mengenai realiti kehidupan sebagai selebriti itu penting supaya anak-anak tidak hanya melihat sisi glamor dunia hiburan tanpa memahami cabaran di sebaliknya.