KUALA LUMPUR – Niat seorang wanita warga Vietnam untuk mendapatkan komisen dengan memperkenalkan rakan-rakannya kepada individu yang menawarkan pinjaman wang bertukar mimpi ngeri apabila dia dipaksa berbogel dan dirakam video sebelum diugut.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hun, 32, itu turut berdepan ugutan supaya membayar wang sebanyak RM3,000 sebagai syarat untuk dilepaskan selepas diperdaya bertemu individu berkenaan di sebuah kawasan parkir pada 3 November lalu.

Katanya, dia pada awalnya menerima mesej daripada seorang lelaki dikenali sebagai CK pada 28 Oktober lalu yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang.

“Saya tak berminat untuk buat pinjaman, tetapi dia tawarkan komisyen lumayan 10 peratus sekiranya saya berjaya bawa rakan-rakan saya buat pinjaman,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.