PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000 mengikut jarak perjalanan bagi membolehkan warga Indonesia keluar dari Malaysia menerusi laluan laut yang tidak diwartakan.

Kegiatan sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu itu terbongkar susulan penahanan 38 warga Indonesia dalam satu serbuan di kawasan pesisir pantai Kampung Sungai Gatal, Sabak Bernam, Selangor, Isnin lalu.

Penahanan itu dilakukan selepas bot nelayan yang dinaiki kesemua warga asing berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan.

Pemangku Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Awang Arfian Awang Bujang berkata, serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu dilaksanakan Task Force Delta Briged Tengah PGA menerusi Op Taring Delta.