KUALA LUMPUR: Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) sebagai usaha mewujudkan sistem pembiayaan kesihatan lebih mampan bagi menangani peningkatan kos rawatan bakal digubal menjelang 2029.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini sedang meneliti aspek pembiayaan, pemodelan aktuari, pakej manfaat, tadbir urus dan asas perundangan bagi memastikan pelaksanaan dana berkenaan bersesuaian dengan keperluan negara.
Katanya, penggubalan akta itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melaksanakan transformasi struktur pembiayaan kesihatan menerusi pewujudan DKN, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Pewujudan DKN merupakan perubahan struktural yang besar. Ia melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan Persekutuan-negeri, dan berkemungkinan turut menyentuh aspek perlembagaan.









