Seorang anggota polis berusia 26 tahun maut manakala 10 lagi cedera selepas van PDRM dinaiki mereka mengalami tayar pecah dan terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah.
IPOH: Seorang anggota polis maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabas sebelum merempuh penghadang besi di KM352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Tapah hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam kejadian kira-kira 11.35 pagi itu, van jenis Maxus itu dipandu seorang anggota bersama 10 penumpang yang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tayar belakang sebelah kiri van berkenaan dipercayai pecah secara tiba-tiba ketika tiba di lokasi kejadian, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.










