Tawau: Isteri kepada seorang pegawai ESSCOM mendakwa diarah menanggalkan pakaiannya sehingga bogel serta dipukul beberapa kali oleh pegawai penyiasat ketika disoal siasat berhubung kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu pada Januari 2023.
Vivien Fabian, 38, yang juga saksi plaintif ke-14 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa seorang pegawai wanita dari Bukit Aman mengarahkannya membuka pakaian satu persatu sebelum diminta mencangkung menghadap dinding selama beberapa minit di bilik soal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menjawab soalan tambahan ketika pemeriksaan utama Peguam Datuk Ram Singh, saksi itu mendakwa seorang lagi pegawai lelaki yang beliau percaya berbangsa India turut menutup matanya menggunakan pelitup muka sebelum menampar kedua-dua telinganya.










