KUALA LUMPUR: Malaysia meluluskan pelaburan digital bernilai RM812.68 juta dari Perancis bagi tempoh antara 2024 hingga 2026, menjadikan negara itu sumber pelaburan kelima terbesar dari Eropah dalam tempoh itu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata Malaysia mahu memanfaatkan pelaburan itu dengan menggalakkan syarikat Perancis untuk membangunkan serta mengkomersialkan teknologi baharu bersama perniagaan, universiti, dan institusi penyelidikan di Malaysia, selain menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran ASEAN yang lebih luas.

"Dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kami mengalu-alukan kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan model, aplikasi industri serta penyelesaian AI untuk perniagaan dan kerajaan," katanya pada Forum Perniagaan Perancis-Malaysia 2026, di sini, hari ini.