Tapah: Detik bersalaman, ciuman dan saling bermaafan sebelum keluar bekerja hari ini menjadi kenangan terakhir Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, bersama suaminya, Allahyarham Muhammad Shahrul Alif Yaacob.
Nor Ilyanie berkata, perbuatan itu memang menjadi rutin harian mereka setiap kali sebelum keluar bekerja, tanpa menyangka pertemuan pagi tadi adalah kali terakhir mereka bersama.
Katanya, dia hanya mengetahui suaminya terbabit dalam kemalangan selepas dihubungi rakan anggota sebelum menerima pengesahan daripada seorang pegawai polis memaklumkan suaminya meninggal dunia.
Nor Ilyanie yang bekerja sebagai eksekutif akaun di Jelapang, Ipoh berkata, mereka berkahwin pada April 2024 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Aqif Irsyad Muhammad Shahrul Alif, yang kini berusia enam bulan.










