Kuala Lumpur: Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin layak menerima faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) selepas terbabit dalam nahas jalan raya malam kelmarin.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), semakan awal oleh Skuad PERKESO Prihatin mendapati Muhammad Hafizuddin, 22, adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan kekal mencarum LINDUNG 24 Jam.

"Akibat kemalangan itu, Muhammad Hafizuddin mengalami kecederaan serius pada kaki dan tangan kanan, hematoma di bahagian leher serta kecederaan ringan di kepala.

"Tangan kanannya juga terpaksa menjalani pembedahan dan dipotong pada paras atas siku demi menyelamatkan nyawanya. Beliau kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," menurut kenyataan itu.