Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal haram dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Rampasan itu membabitkan 27,910 produk disyaki farmaseutikal tidak berdaftar dan 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual serta 23,101 unit produk disyaki kosmetik tidak bernotifikasi.
Dalam kenyataan KKM memaklumkan penguatkuasaan dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan terhadap kumpulan sasaran yang disyaki terbabit dalam rantaian bekalan haram berkenaan.
"Hari ini, pasukan penguat kuasa memeriksa 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal serta peruncit dan menemui pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara terbuka di kedai runcit dan tamu (pasar awam)," kata kenyataan itu.








