Kuala Lumpur : Tidak lagi muncul di televisyen atau radio bukan bermakna juara sulung Mentor, Pija Yasin, 38, sudah mengundurkan diri daripada dunia nyanyian.
Sebaliknya, penyanyi kelahiran Sabah itu menegaskan, dia tidak pernah meninggalkan bidang seni sejak menjuarai program realiti Mentor pada 2005, meskipun perjalanan kerjayanya tidak begitu mendapat perhatian media.
Pija atau nama sebenarnya, Norafizah Mohd Yasin, berkata selepas menamatkan saingan program bimbingan Datuk Zainal Abidin itu, dia masih aktif menghasilkan single dan memenuhi undangan persembahan.
Bagaimanapun, katanya, kerjaya seni mula bergerak perlahan selepas mendirikan rumah tangga pada 2014, namun dia tidak pernah berhenti menyanyi sepanjang lapan tahun tempoh perkahwinannya.








