Kuala Terengganu: Selepas menggegarkan Jakarta dengan pungutan dua pingat emas dan satu gangsa, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) kini memasang misi lebih besar untuk menguasai saingan Zon Timur Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di gelanggang sendiri, Jumaat dan Sabtu ini.

Kejayaan membanggakan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Kepala Dinas Pendidikan Jakarta, Indonesia, Isnin lalu, menjadi pembakar semangat buat skuad itu untuk meneruskan momentum kemenangan apabila beraksi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Bukan sekadar mahu menjadi pelengkap pertandingan, SSMT mempertaruhkan lapan regu dengan impian untuk melakar kejayaan di hadapan penyokong sendiri, sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan pencabar dari seluruh negara.