KOTA KINABALU: Pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik tidak mematuhi keperluan perundangan bernilai lebih RM675,000 dirampas hasil tiga siri serbuan sekitar bandar raya ini dan Putatan, bulan lalu.

Rampasan menerusi Op Taring Alpha 5 itu membabitkan premis di sebuah pusat beli beli di bandar raya ini, Inanam dan Putatan dalam operasi pada 22 dan 23 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata serbuan pertama di Centre Point Sabah berjaya merampas 577 produk makanan proses dan sejuk beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik dipercayai dari Filipina.

Katanya, keseluruhan rampasan dalam serbuan pada 22 Oktober itu dianggarkan bernilai RM262,800.