Tehran: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa berjaya memaksa sebuah dron MQM-170 milik Amerika Syarikat (AS) mendarat dalam keadaan utuh menerusi operasi peperangan elektronik, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Dalam kenyataan pada Isnin, Tentera Laut IRGC memaklumkan bahawa dron berkenaan berjaya ditawan tanpa mengalami kerosakan menerusi operasi itu.

Menurut kenyataan itu, dron berkenaan adalah yang keempat daripada jenis sama berjaya ditawan oleh unit peperangan elektronik dan dron Tentera Laut IRGC, serta dron kelapan yang ditawan dalam keadaan utuh oleh pasukan pertahanan udara IRGC di Selat Hormuz.

Kenyataan itu turut mendakwa tentera AS sudah mengerahkan pelbagai peralatan ketenteraan canggih termasuk dron MQ-9 dan MQ-1, pesawat MQM-170 serta dron serangan LUCAS sejak memulakan operasi ketenteraan terhadap Iran.