Pengaruh bahasa slanga yang semakin meluas dalam komunikasi digital kini melangkaui ruang perbualan tidak formal apabila ungkapan popular di media sosial mula dibawa masuk ke bilik darjah, sekali gus mencabar usaha guru membentuk penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan murid sekolah rendah.
Pendedahan berterusan terhadap kandungan dalam media sosial, menyebabkan murid mudah meniru perkataan, frasa serta gaya pertuturan yang menjadi trend tanpa memahami makna dan kesesuaian penggunaannya mengikut konteks.
Lebih membimbangkan, kecenderungan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris bukan sahaja mempengaruhi komunikasi lisan, malah mula menjejaskan keupayaan murid menghasilkan penulisan yang lengkap dan gramatis.








