SEOUL: Korea Selatan mengerahkan jet pejuang selepas beberapa pesawat tentera Russia memasuki zon pertahanan udaranya pada awal pagi ini.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata, pesawat tentera Russia yang jumlahnya tidak didedahkan itu memasuki dan kemudian meninggalkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara Korea (KADIZ) di Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.

"Pasukan tentera kami mengesan pesawat Russia sebelum memasuki KADIZ dan mengerahkan jet pejuang Tentera Udara untuk mengambil langkah taktikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan," menurut kenyataan ringkas JCS.

Zon pertahanan udara bukan ruang udara milik sesebuah negara, sebaliknya kawasan yang digunakan untuk mengesan dan mengenal pasti pesawat yang menghampiri negara berkenaan atas faktor keselamatan.