Kuala Lumpur : Pelakon dan ahli gusti, Ayez Shaukat, mendedahkan pembabitannya dalam produksi filem Korea Selatan bermula selepas bakatnya dikesan menerusi kerjaya gusti profesional di peringkat antarabangsa.

Ayez atau nama sebenarnya Ayez Shaukat Fonseka Mohd Farid berkata, sebagai ahli gusti profesional Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom, dia mengambil inspirasi daripada lagenda gusti seperti John Cena dan Bautista yang turut menceburi bidang lakonan.

"Ramai tidak sedar industri gusti profesional ini sangat besar dan ramai yang menonton. Jadi syarikat produksi Korea Selatan menemui saya melalui kerja gusti profesional saya.

"Selain gusti, saya mulakan langkah dengan mengambil tawaran kecil di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum pihak produksi Korea Selatan memandang bakat saya dan memanggil untuk sesi uji bakat," katanya kepada Harian Metro.