Putrajaya: Pemilihan 43 jenis sukan bagi temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia bukan keputusan sebelah pihak, sebaliknya dibuat melalui beberapa siri perbincangan dan proses rayuan membabitkan kesemua 11 negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, proses pemilihan berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat SEAGF pada April lalu sebelum tempoh rayuan diberikan kepada semua negara anggota sehingga 8 Mei 2026.

Beliau berkata, hasil proses rayuan itu menyaksikan jumlah sukan yang pada awalnya ditetapkan sebanyak 38 meningkat kepada 43 jenis sukan sebelum dimuktamadkan dalam mesyuarat kedua SEAGF pada Julai lalu.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan SEAGF yang menetapkan proses pemilihan serta rayuan perlu melalui badan berkenaan.