Kuala Lumpur: Majlis perkahwinan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, bersama model Francisca Luhong James, 31, dijangka berlangsung pertengahan tahun depan.
Hans berkata, buat masa ini belum ada tarikh dapat diputuskan kerana dalam perancangan dan masih banyak persiapan perlu dilakukan mereka.
Menurutnya, ia termasuk mengikuti kursus perkahwinan dan majlis pertunangan mengikut adat keluarga Francisca di Sarawak pada Januari tahun depan.
"Buat masa ini, pertunangan bagi pihak saya yang dilakukan di Paris, Perancis sekitar tiga minggu lalu sudah selesai, dan kami juga perlu meluangkan masa mengikuti kursus perkahwinan selama enam minggu.









