KUALA LUMPUR: Suami pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Tawfek, iaitu Amrul Nizar Anuar, 53, mencabar pihak yang meragui kedudukan kewangannya supaya menyemak sendiri status kebankrapan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia.

Amrul mendakwa pernah melalui fasa kebankrapan, namun, status itu sudah lama diselesaikan dan dia tidak lagi bergelar individu bankrap.

Melalui sesi temuramah dalam episod Paparazzi Podcast kendalian Datuk Seri Aliff Syukri, Amrul turut menunjukkan paparan carian rasmi Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi telefon pintar berhubung status bankrap.

Menjawab pertanyaan Aliff Syukri mengenai dakwaan netizen kononnya Dr Afifah atau Dr Fie tersalah memilih suami berstatus bankrap, Amrul berkata, dia tidak perlu mendedahkan secara terperinci bila dirinya berdepan masalah kewangan atau bila status berkenaan diselesaikan.