Cotabato City (Filipina): Ejen antidadah Filipina dengan bantuan polis dan anggota Marin Filipina menggagalkan cubaan seorang rakyat Malaysia bersama rakan subahatnya warga Filipina untuk menjual dadah jenis syabu bernilai PHP13.4 juta (RM857,821.56) dalam operasi penyamaran pembelian dadah di Tawi-Tawi pada hujung minggu, menurut seorang pegawai pada Isnin.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa kedua-dua suspek maut selepas melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa dalam operasi kira-kira 4.50 petang Ahad (15 November) di Barangay Tubig Mampallam, Bongao, Tawi-Tawi, apabila menyedari mereka berurusan dengan ejen antidadah.
Pegawai Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim, mengenal pasti suspek yang maut sebagai Janimal Bin Hajad, yang juga dikenali sebagai "Ungod", seorang rakyat Malaysia, dan Sansibar Amirul Amil, warga Filipina.








