Tasek Gelugor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan sindiket penjualan pewarna rambut yang menyalahgunakan logo Halal Malaysia serta sijil halal milik syarikat lain untuk memperdaya pengguna.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan di sebuah gudang di Kampung Selamat di sini, petang tadi, yang membawa kepada rampasan kira-kira 27,000 botol pewarna rambut bernilai RM1.08 juta.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan khidmat rakan pemasaran (affiliate) di media sosial serta beberapa platform e-dagang dengan memaparkan sijil halal palsu bagi meyakinkan pembeli.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati sijil halal yang dipaparkan dalam bahan promosi itu sebenarnya milik syarikat lain, sekali gus mengelirukan pengguna mengenai status halal produk terbabit.