BANGKOK: Penemuan berpuluh-puluh ekor ikan yang mengalami lepuh, luka serta perubahan warna pada siripnya mencetuskan kebimbangan berhubung risiko pencemaran arsenik dan logam berat lain di Sungai Mekong, sebelah Thailand.
Fenomena ganjil itu tular selepas aktivis alam sekitar Aombun Thipsuna memuat naik gambar spesies ikan keli gergasi tempatan atau dikenali sebagai ‘pla khae’ yang terjejas, mendorong penduduk tempatan menggelarnya sebagai ‘ikan zombi’.
Menurut Aombun, pencemaran logam berat disyaki melemahkan sistem imunisasi hidupan air tawar sekali gus mendedahkannya kepada jangkitan penyakit, namun punca sebenar simptom tersebut belum dapat disahkan secara rasmi.
Memetik laporan laman berita Ejan, beliau berkata, nelayan di kawasan itu mula mengesan kelainan pada ikan di Sungai Mekong sejak tempoh pascapandemik Covid-19.










