Brussels: Penyerang prolifik Belgium, Romelu Lukaku mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa selepas menabur bakti selama 16 tahun bersama skuad kebangsaan.

Keputusan itu menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan menutup tirai karier antarabangsanya dengan rekod 94 gol daripada 135 penampilan, sekali gus kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium.

Lukaku yang juga penjaring kelima terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa memainkan peranan penting membantu Belgium menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018, ketika skuad itu menikmati era paling gemilang.

Menerusi perkongsian di Instagram, bekas penyerang Chelsea itu mengakui sudah memberikan segala-galanya sepanjang mewakili negara dan menyifatkan perjalanan bersama skuad kebangsaan sebagai pengalaman cukup bermakna.