KUALA LUMPUR: Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi perlu diberikan perhatian serius dengan penekanan bukan sahaja terhadap kemahiran di atas padang, malah pembentukan keyakinan, mentaliti dan keupayaan berkomunikasi dalam kalangan pemain muda.

Legenda Liverpool, Ian Rush berpandangan program akar umbi memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan seseorang pemain kerana pengalaman yang dikongsi mampu membantu mereka berkembang sebagai atlet dan individu.

Menurut bekas penyerang Wales itu, beliau lebih menggemari program pembangunan akar umbi berbanding tugas sebagai pengulas bola sepak kerana berpeluang menyampaikan pengalaman serta membantu pemain muda membina asas kukuh untuk masa depan.