Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi setiap ahli pasukan pemenang pingat emas, perak dan gangsa hadir pada waktu yang tepat.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata penambahbaikan itu penting khususnya dalam usaha mengekalkan motivasi, semangat juang dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Beliau berkata penambahbaikan dari segi ganjaran dan pengiktirafan bukan sahaja penting bagi mengekalkan khidmat pemain berpengalaman dalam skuad kebangsaan, malah menjadi pemangkin untuk menarik minat generasi muda menyertai sukan hoki.
"Hoki bukan sukan yang dibina atas kehebatan seorang pemain. Ia adalah sukan berpasukan dengan setiap seorang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada satu-satu kejohanan. Tiada jaringan terhasil dan tiada kemenangan dicapai tanpa sumbangan setiap pemain.






