BANGKOK: Pihak Berkuasa Air Metropolitan (MWA) memberi jaminan bekalan air paip di Bangkok, Nonthaburi dan Samut Prakan kekal selamat serta bebas daripada pencemaran arsenik yang dikesan di sungai Sai, Kok, Mekong dan Bang Pakong.

Agensi kerajaan itu dalam kenyataan pada Isnin meminta penduduk supaya tidak panik berhubung isu berkenaan.

Pengumuman itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan sumber air dan kualiti air paip, selain laporan mengenai pencemaran sungai yang menjejaskan kehidupan penduduk di wilayah utara dan timur laut Thailand.

MWA menjelaskan sumber air mentah yang digunakan untuk bekalan air di Bangkok tidak mempunyai hubungan dengan sungai Sai, Kok, Mekong atau Bang Pakong.