KUALA LUMPUR: Menyertai pertandingan berprestij antarabangsa seperti Eurovision Song Contest bukan sekadar mempertaruhkan kehebatan vokal, sebaliknya memerlukan strategi, pemahaman terhadap cita rasa pertandingan serta kemampuan mengetengahkan persembahan yang memikat perhatian penonton dan juri.

Pandangan itu dilontar maestro muzik, Datuk M Nasir, 68, yang menyifatkan Eurovision Song Contest mempunyai identiti dan acuan tersendiri yang perlu difahami setiap negara sebelum mengambil keputusan untuk menyertainya.

M Nasir yang sudah lima dekad berkecimpung dalam industri muzik berpendapat, penilaian pertandingan berkenaan bukan hanya tertumpu kepada kualiti vokal atau muzik, tetapi turut mengambil kira pemilihan lagu, konsep persembahan serta karakter artis.