PETALING JAYA: Kira-kira 500,000 penduduk Gaza kini kehilangan akses kepada bantuan makanan ketika wilayah itu masih berdepan kesan banjir susulan ribut musim sejuk pertama yang melanda baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, kekurangan pembiayaan memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) mengurangkan bantuan sekitar satu pertiga ketika keperluan penduduk semakin mendesak akibat musim sejuk dan hujan lebat.

Menurutnya, laporan WFP pada Oktober lalu menunjukkan kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza atau 67 peratus daripada populasi berdepan krisis kekurangan makanan pada tahap serius atau lebih buruk.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 200,000 penduduk berada dalam kategori kecemasan makanan atau Fasa 4 Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), iaitu keadaan yang boleh membawa risiko kematian tanpa bantuan segera.”