Empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, namun perjalanan seni Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris dianggap belum lengkap selagi impian yang tersimpan belum menjadi kenyataan.

Bukan mengejar populariti, penyanyi yang popular menerusi lagu Hati Kama itu mahu memanfaatkan peluang terbuka untuk melunaskan cita-cita sebelum melabuhkan tirai perjalanan dalam bidang seni.

Noraniza, 58, menganggap peluang untuk terus berkarya sebagai satu bonus, apatah lagi suaminya menyarankan agar dia berehat daripada dunia seni dengan menikmati kehidupan sahaja.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, dia masih menyimpan beberapa impian yang mahu direalisasikan termasuk mengadakan konsert berskala besar dan menghasilkan album penuh sebelum bersara sepenuhnya.