Kuala Lumpur: Kesalingoperasian antara rangkaian lebuh raya yang dikendalikan syarikat konsesi berbeza menjadi antara keperluan penting dalam pembangunan sistem pembayaran tol negara, bagi membolehkan pengguna menikmati kemudahan pembayaran melalui satu akaun yang sama.
Pakar kejuruteraan elektrik, elektronik dan sistem Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nor Fadzilah Abdullah berkata, pendekatan platform perkongsian penting bagi membolehkan sistem pembayaran tol digunakan merentasi rangkaian lebuh raya berbeza, tanpa pengguna perlu bergantung kepada sistem berasingan.
"Nilai sebenarnya kepada pengguna adalah satu pendaftaran, satu akaun, semua lebuh raya dan ini memerlukan kesalingoperasian merentas puluhan syarikat konsesi," katanya kepada Harian Metro.









